KUALA LUMPUR, 27 Mac: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan proses saringan terhadap pengasuh taska.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukti berkata, ini bagi memastikan pekerja tidak mempunyai rekod jenayah lampau yang boleh merisikokan kanak – kanak di bawah jagaan mereka.
Jelas Nancy, pihaknya juga akan memastikan pengasuh mempunyai kelayakan diperlukan untuk menjaga kanak – kanak.
“Selain itu, (ibu bapa) juga perlu pastikan taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Apabila dengar kes (dera berlaku), kita tambah prosedur operasi standard (SOP) bukan untuk susahkan tapi bagi membantu taska,” katanya pada waktu Pertanyaan -Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Nancy menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (Pakatan Harapan – Bukit Bintang) yang ingin tahu langkah proaktif diambil oleh kerajaan untuk mengatasi kes penderaan di taska yang menyebabkan kematian kanak- kanak.
Sementara itu, Nancy memaklukman, setiap taska perlu dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan pemantauan.
“Bagi taska di bangunan kerajaan, kita mempunyai sistem reminder untuk pastikan anak sudah sampai ke premis berkenaan dalam tempoh 30 minit,” katanya.
Menjawab soalan asal Dr Siti Mastura Muhammad (Perikatan Nasional – Kepala Batas) yang ingin tahu sama ada terdapat perancangan membuka taska di bangunan kerajaan di kawasannya, Nancy memaklumkan, ketika ini terdapat tiga buah taska tempat kerja awam di sana.
“Ini melibatkan taska di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas dan sebuah lagi di Hospital Kepala Batas,” katanya. -TVS