KUCHING, 27 Mac: Kerajaan negeri komited berusaha menyelesaian isu kehilangan penguasaan asas pembelajaran dalam kalangan anak-anak Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn mengakui Sarawak masih mempunyai kumpulan pelajar yang belum mencapai tahap yang disasarkan dalam kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira).
Tegas Roland, golongan tersebut seharusnya diutamakan dahulu agar mereka dapat memenuhi keperluan asas dalam pendidikan sebelum berfikir memperkenalkan AI kepada pelajar sekolah rendah.
“Pertama, kami perlu menyelesaikan masalah pelajar yang belum mencapai tahap tertentu dalam membaca menulis dan membuat matematik.
“Kita tidak boleh lupa bahawa kita mesti mendapatkan mereka yang masih belum boleh membaca dan menulis untuk dapat mengejar rakan sekelas yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majalah Sintesis di Hotel Hillton di Kuching pada Rabu.
Jumlah murid tahun 6 yang masih belum menguasai asas kemahiran 3M di negeri Sarawak mencatatkan penurunan pada Februari 2023 dengan catatan sebanyak 1.2 peratus.
Berbanding pada Februari 2022, jumlah berkenaan adalah sebanyak 2.18 peratus.
Dalam perkembangan lain, Roland meyakini bahawa Majalah Sintesis Sarawak akan membawa manfaat terhadap perkembangan teknologi dalam negeri pada masa hadapan dengan bertindak sebagai instrumen yang memupuk semangat untuk penemuan saintifik dalam kalangan anak muda Sarawak khasnya.
“Majalah tersebut tidak hanya menyelidik demi kegunaan akademik namun berperanan dalam penghasilan produk kajian,” uajrnya.
Melalui pendedahan tersebut, katanya ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti teknologi Sarawak sekaligus memupuk bakat anak tempatan.
“Ia bukan tentang dasar tetapi apa yang kami lakukan untuk Sarawak sudah tentu kami melakukan penyelidikan tetapi bukan hanya menyelidik demi kerja akademik tetapi kami berhasrat untuk menjadi sesuatu yang boleh berguna di kemudian hari.
“Mesti mempunyai beberapa produk selepas semua kajian ini dilakukan. Dan sudah tentu ke dalam teknologi kita pada masa yang sama ia akan meningkatkan bakat kelak,” katanya.-TVS