KUCHING, 26 Mac: Seramai 77 anak-anak dari Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) dan Rumah Kanak-kanak Toh Puan Hajah Norkiah (RKK) disantuni di Rumah Terbuka Kasih Ramadan anjuran Yayasan Farley.
Menurut Pengerusi Yayasan Farley, Eijing Lau, beliau menyifatkan program sedemikian antara inisiatif untuk membantu golongan kanak-kanak yang tidak berkemampuan untuk memberikan keceriaan pada musim perayaan.
“Yayasan Farley komited untuk memberi balik kepada komuniti sejak penubuhannya pada tahun 2021, dan setiap tahun kami raikan perayaan bersama-sama dengan anak-anak yatim PERYATIM dan RKK.
“Kami juga memberi sokongan kepada kesejahteraan masyarakat dalam memupuk ekosistem menerusi inisiatif disalurkan kepada komuniti,” katanya dalam ucapannya selepas Majlis Berbuka Puasa bersama-sama anak-anak yatim dari PERYATIM dan RKK di Rumah Warisan Tan Sri Datuk Amar Abang Haji Ahmad Urai semalam.
Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan serta meraikan anak-anak yatim di Program Kasih Ramadan Farley ialah Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Beliau turut berharap bahawa dengan inisiatif oleh Yayasan Farley, pertubuhan-pertubuhan lain turut dapat mencontohi program sebegini dalam perayaan-perayaan lain.
“Dalam semangat perayaan, saya berharap dengan tradisi dianjurkan, banyak lagi program bukan sahaja untuk anak-anak yatim tetapi juga untuk golongan orang tua turut diadakan pada masa yang hadapan,” tambahnya.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Datu Khirudin Drahman, Ketua Exco Kuching, Lembaga Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak (PERYATIM) Aisyah Tan Abdullah serta Ahli Lembaga PERYATIM Exco Kuching Toh Puan Hajah Hayati. -TVS