MIRI, 26 Mac: Sasaran Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak untuk mencapai kedatangan 4 juta pelancong ke Sarawak dijangka akan tercapai pada sekitar Oktober pada tahun ini.
Timbalan MTCP Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew melihat lebih ramai pelancong dari luar negara seperti Brunei, Indonesia dan Singapura datang melawat ke Sarawak berbanding pelancong dari Semenanjung Malaysia.
“Saya rasa sasaran kita untuk 4 juta pelancong akan capai sekitar Oktober lagi. Selalu pada bulan Januari dan Februari kurang sedikit , tapi tahun ini jumlahnya tinggi. Jadi kita jangka tahun ini lebih ramai orang datang terutama dari tiga negara iaitu Brunei, Indonesia dan Singapura,”
“Pelancong dari Semenanjung adalah 49% tahun lepas, dan 51% dari luar negara. Jadi kita jangka benda yang sama. Lebih ramai dari Indonesia, Brunei dan Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Bubur Lambuk + Bonus Pack di sebuah pusat beli-belah pada Selasa.
Dengan peruntukan sebanyak RM4 juta yang telah diluluskan untuk menaiktaraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, beliau yakin ini akan membantu meningkatkan lagi jumlah pelancong dari negara Brunei ke Sarawak.
Peruntukan tersebut telah diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada awal bulan Mac semasa lawatan ke ICQS Sungai Tujuh.
Lebih 1.3 juta jumlah pelancong Brunei yang datang melawat ke Bandaraya Miri pada tahun lepas. -TVS