KUCHING, 26 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bakal menyerikan perarakan Serahang pada Pesta Kaul Oya 2024 sekali gus akan merasmikan pesta itu pada 21 April depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Tun Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi bakal menyaksikan acara menarik serta menyertai perarakan Pekan Sabtu ke tapak Kaul.
“Perasmian Pesta Kaul Oya 2024 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 21 April dan satu perkara yang menarik juga TYT akan ikut serta acara iaitu daripada pekan sabtu ke tapak kaul acara simbolik penghantaran serahang.
“Jadi ada satu boat yang akan membawa serahang dan kemudian ada satu boat khas disertai boat-boat nelayan yang lain jadi bersusun-susun dibelakangnya. Tak boleh memotong boat yang membawa serahang jadi ini menjadi satu pemandangan yang menarik nanti,” katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu berkata demikian semasa ditemui oleh pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di balai mengadap utama di Astana Negeri Sarawak, pada Selasa.
Menurut Fatimah Pesta Kaul yang akan bermula pada 19 hingga 21 April depan akan mengenengahkan pelbagai pameran seni, warisan dan tradisi masyarakat Melanau.
Pada masa sama sejurus Pesta Kaul, kata Fatimah, Tun Wan Junaidi bakal merasmikan benteng pengawalan hakisan Pantai Kuala Oya.
“Projek ini ada kaitan dengan TYT, beliau telah meluluskan projek yang kita mohon semasa beliau menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.Selepas pertukaran kerajaan, projek tidak diteruskan. TYT memainkan peranan penting semasa di Putrajaya bagi memastikan projek diteruskan.
“Jadi dengan sebab itu kami ingat jasa bakti TYT ini dan dengan sebab itu merasmi pesta kaul oya TYT akan merasmi benteng hakisan pantai yang sudah siap dibina daripada jadual yang telah ditetapkan iaitu pada Oktober 2023,” ujarnya.-TVS