KUALA LUMPUR, 26 Mac: Penjenamaan semula kementerian berkaitan tenaga boleh baharu kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memberi harapan kepada penduduk Batang Lupar, Sarawak supaya projek – projek berkaitan di kawasan mereka dapat disiapkan.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata berdasarkan aspek geografi, kawasan berkenaan merangkumi beberapa muara sungai utama di Sarawak iaitu Sungai Batang Lupar dan Sungai Saribas.
Jelas beliau, kawasan itu juga sering dibadai ombak daripada Laut China Selatan yang menyebabkan beberapa kawasan penempatan utama berdepan dengan ancaman hakisan pantai dan banjir air laut.
“Penduduk terdedah dengan masalah hakisan disebabkan fenomena air pasang besar yang disertai dengan ombak dan hujan lebat yang menyebabkan berlakunya limpahan air laut dan kejadian banjir pantai yang merosakkan rumah, harta benda, tanaman dan infrastuktur penting termasuk jalan raya.
“Saya difahamkan buat masa ini terdapat tiga projek yang telah diluluskan untuk membina struktur perlindungan yang kukuh dan efektif bagi mengatasi masalah banjir pantai di Parlimen Batang Lupar iaitu projek-projek di Kampung Semarang, Kampung Beting Maro dan Kampung Maludam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2023 Peringkat Jawatankuasa PETRA di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad Shafizan berkata, kawasan perkampung yang terjejas ini mempunyai sekitar 3,000 orang penduduk yang telah sekian lama berdepan dengan masalah banjir air masin dan hakisan pantai yang mengancam keselamatan dan harta benda mereka.
“Dengan terbentuknya PETRA sebagai sebuah kementerian baharu, besarlah harapan kami agar ketiga-tiga projek ini dapat selesai dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)Â ini agar penduduk-penduduk yang terjejas dapat menarik nafas lega dan hidup dalam keadaan yang lebih selamat.
Sementara itu Mohamad Shafizan berkata, beliau juga berharap agar cadangan projek untuk membina benteng bagi menahan hakisan tebing Batang Lingga yang akan turut berfungsi sebagai struktur tebatan banjir bagi Pekan Lingga juga dapat diluluskan dalam tempoh RMK-121 juga. -TVS