KUALA LUMPUR, 26 Mac: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin merosot dan membimbangkan.
Sehubungan itu Perdana Menteri menggesa ibu bapa supaya turut memainkan peranan dengan memberi tumpuan bagi memupuk minat anak mereka dalam subjek Matematik dan Sains.
“Saya setuju kalau tidak lakukan tindakan segera, kita akan rugi kerana tumpuan sekarang ini bukan lagi industri nilai rendah sebaliknya yang mempunyai nilai tambah tinggi.
“Industri ini memerlukan kecekapan yang lebih berbanding apa yang ada sekarang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Perikatan Nasional – Kubang Pasu) yang ingin tahu perancangan kerajaan untuk mempercepatkan matlamat capai 60 peratus pelajar memilih bidang STEM berbanding nisbah 30 peratus ketika ini pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri pagi ini.
Tambah Anwar, Malaysia kini mengalami krisis kekurangan jurutera yang memiliki kemahiran tinggi.
Justeru, Anwar menekankan penubuhan pusat kecemerlangan dan pusat latihan di Malaysia.
Beliau juga memberitahu kerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa seperti Nvidia, Geely dan Siemens telah dilaksanakan bagi memenuhi keperluan ini.
“Geely akan wujud universiti kejuruteraan di Malaysia dengan tahun ini sebagai permulaan ambil 300 jurutera dari China untuk tambahan,” katanya. -TVS