KUALA LUMPUR, 26 Mac: Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak tidak mengarahkan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di wilayah itu dihentikan serta-merta.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau dimaklumkan arahan sebenar ialah supaya jentera Kerajaan Sarawak tidak lagi terlibat dalam proses pendaftaran berkenaan.
Jelasnya, sebelum ini tidak wujud masalah di Sarawak malah pendaftaran PADU di sana antara yang tertinggi berikutan langkah Kerajaan Sarawak menggerakkan jenteranya untuk membantu proses pendaftaran.
“Isu timbul pada minggu lepas kerana saya dimaklumkan (wujud) beberapa persoalan dalam Kabinet Sarawak yang rasa data yang diambil (untuk pendaftaran PADU) terlalu banyak dan tidak diperlukan,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas – Perikatan Nasional) yang ingin tahu bagaimana Kerajaan Persekutuan membuat libat urus dengan kerajaan negeri berhubung pendataran PADU berikutan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah meminta rakyat mereka supaya tidak mendaftar.
Sementara itu, Rafizi berkata, kenyataan bahawa kerajaan di dua wilayah berkenaan meminta rakyat mereka supaya tidak mendaftar PADU adalah tidak benar.
“Kabinet Kerajaaan Sarawak berpandangan sekiranya Kerajaan Persekutuan ingin memberikan bantuan, perlu ditumpukan kepada golongan miskin sahaja,” tambahnya.
Pada masa sama, Rafizi berkata, pendaftaran PADU secara peribadi dalam kalangan rakyat Sarawak terus berlaku.
“Apa yang Kerajaan Sarawak lakukan ialah mengarahkan kakitangan mereka tidak lagi laksana pendaftaran PADU secara besar- besaran seperti sebelum ini.
“Penjelasan akan diberikan kepada Kerajaan Sarawak pada mesyuarat dengan mereka minggu ini,” katanya. – TVS