SARATOK, 26 Mac: Seorang kanak-kanak perempuan, Neelofa Entira Entegang yang dilaporkan hilang di Sekolah Kebangsaan (SK) Engkudu di sini, awal pagi ini dijumpai selamat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata kanak-kanak berusia 11 tahun itu ditemui penduduk kampung dalam keadaan selamat di kawasan kebun pada 3.24 petang, hari ini.
“Mangsa dijumpai dalam jarak satu kilometer (km) dari SK Engkudu. Pencarian dijalankan dalam radius tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat (SK Engkudu) ke rumah panjang mangsa (Rmh Bundak, Sg. Anak).
“Pada sebelah pagi, kawasan pencarian bermula dari radius satu kilometer sehinggalah ke radius dua kilometer di sekeliling SK Engkudu, iaitu bermula daripada tempat orang hilang tersebut,” katanya.
Menurutnya, jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) membawa mangsa ke Hospital Saratok untuk pemeriksaan selanjutnya.
Terdahulu, Neelofa dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berada di dalam bilik darjah di SK Engkudu sementara menunggu sarapan pagi pada 5.50 pagi tadi. – TVS