KOTA SAMARAHAN, 26 Mac: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa berbuka puasa bersama warga UiTM Sarawak hari ini.
Majlis Iftar Perdana UiTM Cawangan Sarawak (UiTMCS) yang julung kali diadakan itu telah dihadiri lebih 300 tetamu daripada pelajar, kakitangan UiTMCS serta tetamu jemputan lain.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi Rektor UiTMCS, Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa Mohamadin berkata program pada malam ini dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji Malaysia, TVS, PEWANI & Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf UiTM Cawangan Sarawak.
“Adalah diharapkan dengan pelaksanaan program seumpama ini dapat memupuk semangat perpaduan, kerjasama, semangat kerja berpasukan antara universiti, rakan strategik dan komuniti sekitar sebagai satu keluarga,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Iftar Perdana UiTMCS bersama Premier Sarawak, di sini, hari ini.
Terdahulu, majlis menyaksikan Abang Johari menyerahkan sumbangan kepada 50 orang pelajar UiTMCS, lima orang ibu tunggal dan 11 orang kakitangan yang terdiri daripada asnaf.
Seterusnya, Â Surau Al-Hidayah, Kampung Plaie yang merupakan sebuah perkampungan saudara baharu turut menerima sumbangan. – TVS