KUCHING, 26 Mac: Sebanyak 28 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan di seluruh negara sehingga 25 Mac, dengan sembilan daripadanya melibatkan strok haba dan 19 lagi kes kelesuan haba.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini melaporkan kes berkenaan dilaporkan di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Perlis, Johor dan Pahang.
“Ianya melibatkan 19 kes kelesuan haba dan sembilan kes strok haba. Tiada kes kejang haba dilaporkan,” menurut laporan berkenaan.
Daripada jumlah kes dilaporkan, satu kematian dicatatkan di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh, Pahang melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang maut akibat strok haba.
Sementara itu, satu kes di Port Dickson melibatkan pesakit dirujuk ke unit rawatan rapi (ICU) dan satu kes di Langkawi dengan pesakit telah dipindahkan ke wad biasa.
Menurut kenyataan itu, 25 kes lain telah mendapatkan rawatan serta sembuh.
Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak dan lain-lain aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas ketika ini. -TVS