JULAU, 25 Mac: Tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian pertaruhan sabung ayam lari bertempiaran ke dalam hutan selepas diserbu polis di kawasan lapang sebuah ladang kelapa sawit di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Andam Sulin berkata, usaha suspek yang berusia 19 hingga 64 tahun untuk meloloskan diri itu, gagal apabila kesemua mereka berjaya ditangkap tidak lama kemudiannya.
Menurutnya, kejayaan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau yang dilakukan pada jam 2.30 petang itu hasil maklumat yang diterima pihaknya.
“Sebaik menyedari kehadiran polis, mereka cuba melepaskan dan bertempiaran lari ke dalam hutan berhampiran. Tindakan itu bagaimanapun tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Andam berkata, hasil serbuan polis turut merampas dua ekor ayam hidup, seekor ayam mati, alat penimbang, kotak tertulis jadual pertaruhan, sebilah taji, satu meja kayu beserta kain holo, satu kong holo beserta dadu dan juga wang tunai berjumlah RM495.
Katanya, tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 jika sabit kesalahan boleh didenda RM6,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Oleh itu, pihak polis ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan perjudian pertaruhan sabung ayam dan juga lain-lain jenis perjudian terutama di kawasan Julau dan Pakan,” tegasnya.
Andam turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis.- TVS