KUCHING, 25 Mac: Jumlah kerugian kes penipuan jenayah komersil bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Mac 2024 di Sarawak meningkat berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Pesuruhjaya Sarawak Dato Mancha Ata berkata kerugian RM20.1 juta dicatatkan bagi tempoh berkenaan pada tahun ini, manakala pada tahun 2023 sejumlah RM15 juta kerugian direkod.
“Ini menunjukkan peningkatan jumlah kerugian sebanyak RM5.1 juta bersamaan dengan 34 peratus,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Mac 2024, sebanyak 451 kes penipuan dicatatkan berbanding tempoh sama pada 2023 iaitu sebanyak 552 kes penipuan. Penurunan sebanyak 101 kes.
Kes penipuan yang banyak dilaporkan di Sarawak adalah e-dagang berjumlah 141 kes dengan kerugian RM1.32 juta, tipu pelaburan 52 kes (RM11 juta) dan tipu pinjaman tidak wujud 49 kes (RM378,000).
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Mac 2024, seramai 193 orang ditangkap,” katanya.