KUCHING, 25 Mac: Pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO perlu dimanfaatkan sebagao batu loncatan untuk seluruh Sarawak muncul sebagai destinasi pelancongan makanan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, Sarawak merupakan sebuah negeri menggabungkan kepelbagaian budaya dan etnik yang mencetuskan pelbagai masakan.
Program Inkubator Gastronomi ini katanya telah mendorong pertumbuhan ekonomi dan pengayaan budaya khususnya berkaitan seni kulinari dan gastronomi.
“Seni kulinari dan gastronomi sedang berkembang pesat dan ia amat penting dalam pembangunan industri kreatif dan budaya kerana ia memaparkan identiti kita yang sebenar dan bagaimana masyarakat luar melihat budaya dan tradisi kita.
“Pada masa ini, masyarakat semakin berminat untuk menceburi bidang pemakanan kreatif dari aspek budaya seperti program masakan bahkan sekarang ini sudah ada komuniti sokongan dalam gerakan makanan,” katanya semasa sidang media sempena pelancaran Inkubator Gastronomi Sarawak (SAGO) di sini, hari ini.
Snowdan berkata, pelancong turut mencari pengalaman menikmati kepelbagaian rasa makanan dalam pengembaraan mereka.
“Industri seni kulinari dan gastronomi mempunyai potensi yang amat besar dalam pembangunan sosioekonomi di Sarawak.
“Sebab itu saya amat menggalakkan kementerian saya untuk memfokuskan kepada pembangunan industri seni kulinari dan gastronomi sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan industri kreatif secara keseluruhan,” ujarnya.
Inkubator berkenaan diwujudkan bagi melengkapkan usahawan dengan kemahiran dan hubungan yang diperlukan untuk berjaya dalam industri kulinari.
Inisiatif selama 10 minggu ini menawarkan pengalaman menyeluruh kepada peserta, termasuk kelas, bengkel, sesi memasak dan peluang untuk membuat rangkaian antara satu sama lain.
Permohonan bagi menyertainya dibuka sehingga 17 April ini dengan program tersebut bermula pada 29 April 2024. Maklumat lanjut mengenainya boleh dilayari laman sesawang https://sagoinc.my/. – TVS