KUCHING, 25 Mac: Sejumlah empat kes pembuangan bayi direkodkan di negeri ini dari Januari sehingga Mac 2024 termasuk yang terbaharu seorang bayi perempuan yang diselamatkan di Baby Hatch Borneo Medical Centre (BMC) pada pagi semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak- Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, statistik Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (Unit D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak mendedahkan sebanyak 54 kes pembuangan bayi atau janin direkodkan bagi lapan tahun yang lalu, antara Januari 2016 hingga Disember 2023.
“Dalam tempoh yang sama (2024), mengikut peratusan bilangan bayi yang dibuang dengan bilangan kes remaja hamil di Sarawak, tren peningkatan dan penurunan adalah tidak ketara dan status quo dibawah satu peratus iaitu antara 0.19 peratus hingga 0.62 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir melakukan lawatan kerja ke BMC Kuching bertujuan merangka pelan tindakan bagi seorang bayi perempuan yang diselamatkan melalui fasiliti tempat perlindungan bayi di BMC.
Mengulas mengenai bayi perempuan yang diselamatkan itu, Fatimah meminta ibu kandung kepada bayi itu untuk tampil ke hadapan bagi memudahkan proses pendaftaran kewarganegaraan.
“Saya merayu kepada ibu kandung bayi yang diselamatkan untuk berjumpa terus dengan saya atau mana-mana pelindung kanak-kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak demi kepentingan terbaik kanak-kanak,” katanya.
Fatimah menambah, kelahiran bayi dapat didaftarkan dengan status kewarganegaraan Malaysia kerana ibu kandung disyaki orang tempatan, namun jika sebaliknya, status bayi adalah belum ditentukan.
Beliau menjelaskan, sekiranya bayi itu mempunyai status kewarganegaraan, adalah lebih mudah untuk pasangan yang layak untuk menjadikan bayi itu sebagai anak angkat.
“Jika bayi tersebut tidak mempunyai kewarganegaraan, maka prosesnya menjadi lebih rumit.
“Sekiranya ibu kandung kepada bayi yang diselamatkan tampil untuk membantu bagi mendapat sijil lahir, maka anak tersebut boleh diangkat di hadapan Pegawai Daerah Kuching kepada keluarga yang dipilih atau yang dipersetujui oleh ibu kandung sendiri,” katanya. – TVS