KUCHING, 25 Mac: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga kerja Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di ibu pejabatnya di Bukit Siol di sini, malam ini.
Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis berbuka puasa yang antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara barisan pemimpin bersama kakitangan DBKU.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan sumbangan kepada 27 orang kanak-kanak terdiri daripada anak-anak yatim bekas kakitangan DBKU, pelajar-pelajar Tahfiz Madrasah Al-Khairat Kampung Pinang Jawa dan anak-anak istimewa Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman. – TVS