KUCHING, 24 Mac: Kerajaan perlu menjelaskan lebih terperinci mengenai keraguan yang diutarakan orang ramai berkaitan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kata Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Aila Abdul Latif.
Menurutnya, keraguan timbul dalam kalangan masyarakat apabila terdapat dakwaan mengatakan data peribadi yang dimuat naik dalam PADU mungkin bocor ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.
“Dari pihak pelaksanaan sistem itu sendiri kita faham, bahawa pengurusan data akan menjadi lebih teratur dan sistematik dengan wujudnya satu pangkalan data utama.
“Tapi harus diingat ketersediaan data akan berkemungkinan mendedahkan semua maklumat secara sekali gus dalam satu tempat sahaja,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Pada masa sama, Dr Aila menegaskan cadangan agar polisi keselamatan sistem yang ampuh juga merupakan satu elemen penting agar aktiviti penyelewengan atau penyalahgunaan data tidak berlaku.
“Mereka di pihak pelaksana sistem tidak seharusnya hanya melihat kepada kesediaan sistem itu tetapi juga perlu bersepadu dengan perubahan polisi dengan langkah keselamatan seperti polisi yang berkaitan dengan kebertanggungjawaban.
“Pihak yang dikenal pasti perlu mempunyai akses, tindakan, jaminan atau bantuan keselamatan yang komprehensif sekiranya berlaku risiko pencerobohan data atau data diakses tanpa izin atau digunakan oleh pihak yang berkepentingan peribadi,” katanya.