MIRI, 24 Mac: Seramai 21 orang usahawan kraf tangan menyertai Program Semarak Seni Budaya Orang Ulu 2024 anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
SEDC menerusi kenyataan berkata, program yang diadakan di Kampung Lusut pada Jumaat dan Sabtu lepas itu berlangsung selama dua hari dan dikelolakan Caroline Jok Ngau.
Terdapat dua aktiviti utama di dalam program tersebut iaitu Kursus Anyaman Kraftangan – Rose Bag dan Pesangun Orang Ulu.
Menurut Puan Caroline, Rose Bag merupakan inovasi daripada anyaman lavung iaitu ikatan kepala tradisi etnik kaum Kayan.
Anyaman tersebut diubahsuai dan dijadikan pelbagai bentuk seperti beg, tas tangan, bekas air dan pelbagai lagi.
“Antara objektif program ini adalah untuk mempelajari cara pembuatan Rose Bag dan dibahagikan kepada dua peringkat – peringkat asas dan peringkat pertengahan.
“Selain itu, para peserta diajar tentang asas keusahawanan serta bagaimana kaedah untuk menembusi pasaran di dalam industri kraftangan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pesangun Orang Ulu pula merupakan sambutan malam kebudayaan yang meraikan kebudayaan Orang Ulu seperti anyaman lavung, tarian Ngajat dan Datun Julud serta alunan muzik sape’.
Majlis penutupan disempurnakan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dato Dennis Ngau. Majlis turut dihadiri Pengurus Besar SEDC Datu Abdul Hadi dan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti, SEDC Nikk Abdillah.
Di dalam ucapan, Dennis menyeru para usahawan agar tidak mensia-siakan peluang mendapatkan bantuan keusahawanan daripada SEDC.
Dalam pada itu, Abdul Hadi memohon agar para peserta menjadikan Carol sebagai usahawan contoh, melihat kepada kesungguhan dan kreativiti beliau.