MIRI, 24 Mac: Pengwujudan Sistem Pangkalan Data Umum (PADU) bagi tujuan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka yang layak memang dialu-alukan, tetapi ciri-ciri keselamatan data peribadi yang dipersoalkan orang ramai.
Tinjauan TVS di bandar raya ini mendapati, rata-rata orang ramai menyambut baik inisiatif kerajaan yang mahu rakyat berpendapatan rendah dibantu terutama ketika kos sara hidup pada masa ini meningkat.
Bagi seorang pembuat kuih Norita Baye, sistem PADU berkemungkinan mempunyai sedikit permasalahan, namun sistem ini masih dapat ditambah baik agar ia mencapai matlamat asal pengenalannya.
“PADU ini bagus sebenarnya, cuma kalau dapat diperbaiki, agar semua rakyat mendapat manfaatnya kelak,” katanya.
Bagi Geoffery Laeng yang bekerja sendiri, sistem PADU berupaya menyantuni seluruh warga Malaysia, namun penambahbaikan diperlukan terutama dari segi pendaftaran data peribadi.
Tambahnya lagi, sistem ini merupakan satu usaha murni kerajaan dalam membantu rakyat yang memerlukan.
“Sistem PADU ini sebenarnya inisiatif yang baik oleh kerajaan, cuma saya harap sistem ini diperbaiki agar maklumat peribadi kita tidak didedahkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pekerja ladang sawit, Richard Benny yakin bahawa elemen inklusiviti yang menjadi salah satu tunjang utama PADU akan memastikan tiada rakyat yang akan tercicir dalam apa jua inisiatif yang diperkenalkan kerajaan.
“Bagi saya, tidak rugi untuk mendaftar pada sistem PADU, kerana kita tidak akan ketinggalan dalam menerima informasi atau bantuan daripada kerajaan, jadi rakyat tidak akan ketinggalan dalam apa-apa jua inisiatif yang disediakan kelak,” katanya.