KUCHING, 24 Mac: Seramai 200 anak yatim dan golongan asnaf menerima sumbangan wang tunai pada majlis Iftar Sinar Kasih Ramadan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di sini, malam ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri yang menyempurnakan majlis itu berkata kerajaan senantiasa mengambil berat terhadap kebajikan serta keperluan setiap golongan masyarakat.
“Kehadiran Ramadan sebagaimana kita semua sedia maklum adalah sarat dengan kemuliaan dan keberkatan.
“Justeru amat rugi jika kita tidak menghargai atau menyambutnya dengan pengisian sewajarnya dengan kelebihan Ramadan itu sendiri,” katanya.
Beliau turut menyeru badan-badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan untuk bersama YKN membantu mereka yang memerlukan.
“Penglibatan para penyumbang melalui platform tanggungjawab sosial korporat dengan YKN membolehkan lebih ramai lagi golongan sasar dapat dibantu,” katanya.