KUCHING, 24 Mac: Kebimbangan orang ramai mengenai isu keselamatan data peribadi yang didaftarkan dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata kerisauan mereka harus difahami kerana hampir terlalu kerap ada laporan tentang mangsa penipuan dalam talian.
“Tahun 2023, telah merekodkan sejumlah 23,000 kes jenayah penipuan dalam talian yang melibatkan jumlah wang sebanyak RM1.22 bilion.
“Berlatar belakang isu begini, ramai yang khuatir tentang keselamatan data mereka, takut disalah guna atau bocor, terutama maklumat bank atau kewangan,” katanya ditemui pada sesi pengagihan bubur lambuk anjuran Manchester United Supporters Club (MUSC) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau seterusnya mencadangkan agar kerajaan Persekutuan turut memberi perhatian lebih serius tentang masalah penipuan dalam talian yang melibatkan jumlah wang simpanan besar dan kebanyakan mangsa merupakan pesara.
“Mungkin sistem keselamatan perbankan kita patut diperketatkan, supaya kumpulan penipu tidak begitu mudah membuka akaun bagi tujuan melakukan jenayah dan hukuman berat kepada mereka yang menjadi ‘keldai scammer’ ini.
“Sistem ‘alert’ bank juga perlu lebih sensitif supaya tidak begitu mudah penipu memindah wang dan menutup akaun hasil penipuan,” katanya.
Bagi mengatasi masalah dakwaan kelemahan PADU, Abdullah mengesyorkan agar data eKasih mesti disemak semula, dikemas kini atau diputihkan dan seterusnya disatukan dalam PADU supaya mereka yang benar-benar layak tersenarai terutama masyarakat daif dan B40.
“Sebelum ini penyaluran bantuan kerajaan kepada golongan sasaran adalah melalui semakan data senarai eKasih yang diurus Pejabat Daerah.
“Memandangkan objektif utama sistem PADU ini adalah untuk memastikan pelbagai bantuan dan kemudahan kerajaan disalurkan secara tepat kepada kumpulan masyarakat yang disasar dan e-kasih mungkin ada kelemahan,” jelasnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pada 2 Februari 2024, Jabatan Perangkaan negara mengadakan sesi taklimat dan dialog tentang PADU, semua wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijemput.
Turut hadir sebagai tuan rumah ialah Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Menurutnya, banyak perkara dibangkit dalam sesi taklimat tersebut terutama berkaitan dengan keselamatan maklumat yang dikumpul.
“Saya memilih untuk bersangka baik. Mungkin PADU ini bertujuan membaiki kelemahan atau pemutihan data e-Kasih dan ingin memastikan pelbagai bantuan dan kemudahan kerajaan benar-benar diterima oleh kumpulan masyarakat yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Katanya, sejak PADU memulakan pendaftaran bermula 2 Januari, ramai masyarakat terutama yg berpendapatan rendah atau B40 telah berdaftar secara online kerana mereka tidak mahu terlepas peluang untuk mendapat bantuan kerajaan.
Malah, maklum balas rawak yang diterimanya dari masyarakat desa dalam kawasannya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop mereka tetap akan mendaftar dalam sistem PADU.
“Kerana mereka benar-benar memerlukan segala bentuk bantuan kerajaan dan mereka tidak risau tentang penipuan dalam talian kerana majoriti mereka tiada pekerjaan tetap, hanya ada satu akaun bank dan wang simpanan mereka tidak banyak,” katanya.