KUCHING, 24 Mac: Tiga perkara perlu diberi penekanan Sarawak dalam membangunkan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) sejajar dengan inisiatif tenaga bersih.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata ia meliputi sokongan perkhidmatan teknikal untuk CCUS – komponen penting dalam strategi Sarawak untuk melaksanakan pelan hala tuju CCUS.
Perkongsian peluang dengan NeXT (Schlumberger) SLB untuk program peningkatan kemahiran dan pembangunan kompetensi, menangani keperluan mendesak untuk menyediakan tenaga kerja Sarawak bagi peralihan kepada pelepasan sifar bersih.
Penubuhan Pusat Kecemerlangan Tenaga Bersih di Sarawak yang akan menjadi asas bagi Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 di bawah agenda pemangki Tenaga Boleh Diperbaharui.
“Dengan kemajuan Sarawak dalam tenaga bersih, adalah penting untuk kita memupuk bakat tempatan untuk menerajui perjalanan kita ke arah masa depan yang mampan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tiga perkara itu dibincangkannya bersama Naib Presiden Schlumberger (Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon) ketika menghadiri CERAWeek di Houston, Texas pada 20 Mac yang lalu.
Dr Hazland pada masa sama bertukar pandangan Ketua Pegawai Eksekutif SLB, Olivier Le Peuch dan Presiden Asia SLB, Amy Chua bagi mengukuhkan lagi komitmen bersama untuk kestabilan tenaga dan inovasi ketika menghadiri majlis persendirian yang dianjurkan oleh SLB di Agora House. – TVS