KUCHING, 23 Mac: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Malaysia yakin terhadap inisiatif penggabungan empat agensi air di Sarawak akan menjamin kebajikan pekerja sektor itu.
Presiden CUEPACS Malaysia, Datuk Dr Adnan Mat berkata hasrat Kerajaan Sarawak mengkaji penubuhan Lembaga Air Sarawak merupkan langkah yang tepat dalam usaha melestarikan sumber di negeri ini.
Menurutnya, kebajikan dan jaminan pekerjaan pada masa akan datang juga akan terpelihara dengan meletakkan empat agensi di bawah satu bumbung yang sama berikutan kebajikan penjawat awam di bawah seliaan sedia ada akan terus kekal dengan skim tetap dan berpencen ataupun menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Boleh dikembangkan di bawah seliaan, sama ada dibuat dalam bentuk mesyuarat kecil dan sebagainya tetapi yang penting dia letaklah di bawah satu bumbung yang CUEPACS cadangkan sebagai Lembaga Air Sarawak.
“Kerana yang pertama kita nak kebajikan penjawat di bawah yang sedia ada ini terus kekal dalam skip tetap dan berpencen ataupun skim KWSP dan sebagainya namun lantikkan baru terserah,” katanya.
Beliau berucap semasa Program Ihya Ramadan dan Agihan Bubur Pedas di Pejabat CUEPACS Negeri Sarawak di Kuching pada Sabtu.
Antara empat agensi yang menguruskan air di Sarawak iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Laku Management Sdn Bhd (LAKU) akan diswastakan. -TVS