KUCHING, 23 Mac: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertegas mahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyiapkan projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak dalam tempoh penggal pentadbiran beliau.
Perkara itu diulangi Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini berhubung projek mega itu didapati telah lama tertangguh walaupun telah dipersetujui oleh mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018 namun ditangguh akibat pertukaran kerajaan sehingga 2022.
“Abang Johari bersama saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan hasrat Sarawak untuk membangunkan Pusat Kanser Sarawak dan akhirnya ia telah dibentangkan di Parlimen tahun lepas,” kata Dr Sim dalam hantaran itu.
Menurut beliau pembinaan pusat kanser milik Sarawak itu amat penting ekoran mengambil kira statistik penyakit kanser merupakan masalah kesihatan kedua utama di negeri ini selepas penyakit jantung.
“Rawatan kanser secara lazimnya sangat mahal terutamanya dengan imunoterapi sasaran baharu dan menjangkakan banyak penemuan terapi genomik baharu dengan Kecerdasan Buatan (AI) serta penjujukan gen dalam 10 tahun akan datang.
“Dengan mengambil contoh, satu jenis terapi ubat untuk kanser payudara tahap empat menelan kos sebanyak RM30,000 sebulan dan jika bertindak balas, boleh bertahan lima tahun lagi namun kebanyakan pesakit tidak mampu untuk membayar sejumlah kos yang besar,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut menyifatkan Sarawak beruntung berikutan Hospital Umum Sarawak memiliki pakar kanser yang baik meskipun kekurangan dari segi kemudahan dan fasiliti.
Sehubungan itu, beliau sedaya upaya berusaha memperjuangkan impian sebuah pusat kanser milik Sarawak menjadi realiti bagi memastikan pesakit kanser di Sarawak mendapat rawatan yang terbaik.
Dalam hantaran itu juga, Dr. Sim turut mendoakan agar Puteri Wales Kate Middleton agar cepat sembuh dan terus kuat melawan kanser. – TVS