KUALA LUMPUR, 22 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dianggap oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato Johari Abdul sebagai ‘Walking Dictionary’ atau kamus bergerak.
Menurut Johari, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi selaku Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada tahun 2008 hingga 2003, beliau berani menegur para Ahli Parlimen di dalam dewan yang salah kod atau akta-akta yang berkaitan.
“Pada waktu itu apabila kami mahu berhujah semasa Tun mengetuai persidangan Dewan Rakyat, kami perlu memastikan fakta-fakta yang dihuraikan tepat dan betul.
“Sebab kalau ada perkara yang tidak betul, Tun akan memberi kita syarahan yang panjang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Khamis.
Jelas Johari, pengalaman luas Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan dinamik Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dapat membawa banyak perubahan yang menjadikan Sarawak sebuah negeri terbaik di Malaysia.
“Kerjasama antara pegawai-pegawai di kementerian dan wakil rakyat juga mampu menjadikan perkara itu satu kenyataan.
“Kita juga akan sentiasa menanti dan terbuka untuk menerima pandangan, panduan serta teguran yang diberikan Tun Dr Wan Junaidi dari masa ke semasa,” ujarnya.
Tambahnya, kejayaan dan perjalanan karier Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi wajar diambil sebagai teladan dan sikapnya yang sentiasa bekerja keras dan tidak pernah jemu melontarkan pandangan dan pendapat bernas patut dicontohi. – TVS