PUTRAJAYA, 22 Mac: Kerajaan Sarawak merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan berikutan kelancaran proses penyerahan semula Pelabuhan Bintulu kepada wilayah itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak juga sudah mempunyai perancangan termasuk melibatkan aspek undang – undang untuk menguruskan pelabuhan berkenaan sebagai salah satu penggerak utama kepada ekonominya.
“Kerajaan Sarawak akan tubuhkan Lembaga Pelabuhan Sarawak untuk kita uruskan semua pelabuhan di sana termasuk Pelabuhan Kuching, Pelabuhan Miri, Pelabuhan Tanjong Manis, Pelabuhan Sibu serta Pelabuhan Bintulu.
“Ini akan memberi impak kepada ekonomi (yang sedang pesat berkembang) di Sarawak malah akan turut beri impak kepada Malaysia kerana kita banyak mengeksport bahan sumber,” katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Proses penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak selesai sepenuhnya 2025
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Terdahulu, Abang Johari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Proses penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak selesai sepenuhnya 2025
Anthony menandatangani perjanjian itu bagi pihak Kerajaan Persekutuan manakala Sarawak diwakili oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Emas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak.
Sementara itu, Abang Johari berkata berikutan usaha Sarawak mencapai matlamat yang ditetapkan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, penyerahan pelabuhan berkenaan tepat pada masanya.
“Sarawak sedang bangunkan industri boleh diperbaharui dan sudah tentu semua pelabuhan ini akan main peranan.
“Saya bagi pihak Kerajaan Sarawak ucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan dan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak yang telah mencapai persetujuan,” katanya.
Berkenaan perkara teknikal lain, Abang Johari berkata, beliau menyerahkan kepada jawatankuasa yang ditubuhkan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini. -TVS