KUCHING, 22 Mac: Peningkatan kesedaran dalam usaha untuk melindungi serta menjaga kualiti air penting bagi kelestarian alam sekitar dan kesihatan manusia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kualiti air juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pencemaran industri, pertanian, pembangunan bandar dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh manusia.
“Air merupakan asas kehidupan. Malaysia juga sentiasa menitikberatkan pelaksanaan undang-undang yang wajar bagi memelihara kualiti, sumber, dan bekalan air negara.
“Marilah kita bersama-sama berikrar untuk menjaga dan menghormati sumber air yang kita miliki – Kurangkan pembaziran dan lindungi kawasan tadahan air, kerana setiap titisan air amatlah berharga,” jelasnya satu hantaran Facebook bersempena sambutan Hari Air Sedunia hari ini.
Selain itu, tema ‘Air untuk Keamanan’ menekankan bahawa air bukan untuk persaingan namun salah satu daripada hak asasi manusia.
Dalam pada itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi mengakui Sarawak dikurniakan hujan tahunan yang tinggi dan air tawar yang banyak dari sungai-sungai yang masih berada dalam kawalan serta tiada sebarang perkongsian bersama negara atau negeri jiran.
“Oleh itu, Sarawak tidak berdepan dengan isu bersaing untuk mendapatkan sumber air dan pengurusan yang baik perlu dijalankan bagi menghadapi cabaran perubahan iklim, “ katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, kuasa hidro, pengairan dan pelayaran juga memerlukan penggunaan air mampan bukan setakat untuk bekalan air yang bersih.
Untuk rekod, Hari Air Sedunia merupakan sambutan tahunan Pematuhan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) pada tiap 22 Mac sejak 1993 yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 6 : Air dan Sanitasi menjelang 2030. – TVS