PUTRAJAYA, 21 Mac: Proses penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak dijangka akan selesai sepenuhnya menjelang tahun depan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Menurut beliau, selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri berlangsung hari ini, proses berkenaan akan diteruskan melibatkan beberapa aspek.
“Majlis hari ini merupakan komitmen kita (Kerajaan Persekutuan) kepada Kerajaan Sarawak, selepas ini ada beberapa proses dengan yang pertama akan dibawa ke Parlimen untuk mansuhkan Akta Pelabuhan Bintulu yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen 1981.
“Akta ini perlu dimansuhkan terlebih dahulu sebelum (Pelabuhan Bintulu) diserahkan kepada Kerajaan Sarawak,” katanya pada sidang media bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.
Terdahulu, Abang Johari serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menyaksikan detik bersejarah itu Pejabat Perdana Menteri.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Persekutuan berasal dari Sarawak.
Anthony menandatangani perjanjian itu bagi pihak Kerajaan Persekutuan manakala Sarawak diwakili oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak.
Tambah Anthony, memandangkan Akta Pelabuah Bintulu juga terpakai untuk Pelabuhan Labuan yang kekal status sebagai pelabuhan di bawah Kerajaan Persekutuan, pelabuan itu akan dikeluarkan daripada Akta Pelabuhan Bintulu.
“(Berkenaan) beberapa perkara teknikal lain (mengenai pertukaran status Pelabuhan Bintulu) akan dibincangkan antara Kementerian Pengangkutan dengan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak terutamanya melibatkan perkara teknikal seperti kakitangan pelabuhan yang akan dikekalkan dan elemen kewangan membabitkan Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan yang perlu diperincikan lagi,” katanya.
Sementara itu, Anthony berkata Kerajaan Persekutuan yakin Pelabuhan Bintulu akan menjadi pelabuhan utama bukan sahaja untuk Sarawak malah Malaysia.
“Ia akan menjadi pelabuhan minyak, gas dan petroluem terulung dan harap dapat diperbesarkan lagi untuk sokong perindustrian di Sarawak,” tambahnya. -TVS