MIRI, 21 Mac: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menerusi anak syarikatnya, PETRONAS Carigali Sendirian Berhad (PCSB) menyantuni 65 orang golongan asnaf dan kurang berkemampuan dengan memberi duit raya dan baju raya menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pengurus Besar Kanan PCSB, Anuar Ismail berkata, program CSR ini merupakan inisiatif PETRONAS dalam meringankan beban golongan yang memerlukan terutama pada Ramadan dan mempersiapkan diri serta keperluan pada Hari Raya Aidilfitri.
“Sempena Hari Raya yang menjelang tiba, pihak PETRONAS turut mengambil peluang untuk meraikan seramai 110 keluarga dan individu di Miri dan Bintulu dengan pembelian persiapan Aidilfitri serta kelengkapan pakaian raya.
“Diharap sumbangan ikhlas ini dapat memeriahkan lagi sambutan perayaan mereka kelak,” katanya pada program Juh Berambeh Sungkei bersama PETRONAS 2024 di sini, malam tadi.
Tambah Anuar, kolaborasi aktiviti CSR bersama agensi kerajaan merupakan inisiatif yang bertujuan untuk memperkasakan kehidupan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh pelusuk Sarawak, termasuk Miri.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Sarawak, Datuk Rosey Yunus serta Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang. – TVS