Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebahagian babak perlawanan antara Malaysia dan Oman pada perlawanan ketiga Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, awal pagi ini. Foto FAM (FB)

Oman beri Harimau Malaya kekalahan pertama

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Malaysia mengalami kekalahan pertama selepas tewas 0-2 kepada pasukan ranking dunia ke-80 Oman pada perlawanan ketiga Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, awal pagi ini.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon yang menghuni ranking ke-132 dunia, hilang status sebagai pendahulu kumpulan apabila jatuh di tangga ketiga meskipun berkongsi enam mata bersama Oman yang menerajui kumpulan dan Kyrgyzstan di tangga kedua dengan perbezaan gol.

Dua jaringan Oman terhasil pada separuh masa kedua oleh gandingan penyerang Issam Al Sabhi dan Muhsen Al Ghassani sekali gus memberikan permulaan sempurna buat ketua jurulatih baharu Jaroslav Silhavy yang pertama kali membimbing Red Warriors sejak dilantik bulan lepas.

Pada pertembungan itu, anak buah Silhavy yang mendominasi perlawanan sejak permainan bermula buntu dalam usaha mencipta jaringan dalam 45 minit pertama biarpun memiliki beberapa peluang terbaik, namun penjaga gol negara  Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bertindak cemerlang di gawang.

Antara peluang keemasan dimiliki Oman adalah menerusi tandukan Omer Al Malki pada minit ke-14 yang diselamatkan Ahmad Syihan berdekatan garisan gol dan rembatan deras Salaah Al Yahyae dari arah sebelah kiri kotak penalti pada minit ke-32, juga berjaya ditampan keluar.

Bagaimanapun, usaha berterusan Oman berjaya membuahkan hasil apabila akhirnya memecah kebuntuan gol menerusi Issam yang menerima hantaran Ali Sulaiman Al-busaidi sebelum melepasi kawalan La’vere Corbin-Ong dan melepaskan rembatan dari jarak dekat pada minit ke-58.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia pantas menunjukkan respons positif, namun tidak bernasib baik untuk menyamakan kedudukan selepas tandukan Corbin-Ong berpunca sepakan penjuru Mohamad Faisal Abdul Halim hanya menggegar palang pada minit ke-61.

Berbaki kira-kira 20 minit permainan, Pan Gon membuat perubahan taktikal dan pertukaran pemain secara berperingkat dengan memasukkan Endrik Dos Santos, Muhammad Azam Azmi Murad, Paulo Josue, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Darren Lok.

Nasib sekali lagi tidak berpihak Malaysia apabila jaringan Josue pada minit ke-81 dibatalkan kerana ofsaid dan Oman melengkapkan kemenangan penting mereka dengan gol kedua menerusi penyudah Muhsen yang memanfaatkan hantaran Ali Sulaiman pada minit ke-88.

Kemenangan tersebut menyaksikan Oman terus kebal berdepan Malaysia di laman sendiri apabila turut tidak tewas dalam dua pertemuan terakhir sebelum ini sejak 2010.

Malaysia bagaimanapun berpeluang membalas dendam apabila melayani kunjungan Oman pada perlawanan keempat Kumpulan D di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Selasa depan.

Sementara itu, Kyrgyzstan meneruskan momentum kemenangan selepas menundukkan pasukan tuan rumah Taiwan 2-0 dalam satu lagi aksi kumpulan di Kaohsiung.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan