KUALA LUMPUR, 22 Mac: Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal mengakui beliau harus melaksanakan peranan dengan terbaik seperti legasi yang telah ditinggalkan mantan Yang di-Pertua Dewan Negara sebelum ini.
Mutang mengakui Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah meninggalkan legasi yang hebat sebagai panduan beliau ketika ini.
Ahli Parlimen, Senator harus beri contoh terbaik jaga sensitiviti 3R
“Saya ada kasut besar untuk diisi, Tun. Sebagai anak jati Sarawak, saya memandang tinggi pengalaman dan pimpinan beliau dan lantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak juga amat bertepatan untuk memimpin ke arah Sarawak maju makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia, di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Mutang mengingatkan setiap Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Negara agar menjaga tingkah laku dan percakapan masing-masing.
Beliau memberitahu kesemua perbuatan mereka adalah terbuka ataupun terdedah kepada masyarakat dengan adanya jaringan internet pada ketika ini menerusi pelbagai medium media sosial.
“Media massa tradisional serta media baru tanpa mengira umur bangsa dan agama.
Oleh itu, kita harus sentiasa memberi contoh yang terbaik kepada rakyat di dalam menjaga keharmonian perpaduan dan menjaga kesensitifan berkait dengan 3R iaitu Raja, agama dan bangsa,” katanya.
Pada masa sama, Mutang mengalu-alukan usaha dan komitmen ahli-ahli Dewan untuk menyatukan masyarakat tanpa sebarang prejudis.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada semua Ahli Yang Berhormat kerana rata-ratanya semua Ahli-ahli Yang Berhormat kekal fokus dan produktif sepanjang perbahasan yang berjalan di bulan Ramadan ini,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru Ahli Parlimen dan Senator untuk sentiasa mengamalkan semangat perpaduan, saling menghormati dan toleransi terutamanya semasa menjalankan tanggungjawab berbahas di dalam dewan.
Terdahulu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri tiba di Dewan Negara pada sekitar jam 6.45 petang Khamis.
Kehadiran beliau turut menyaksikan Wan Junaidi merasmikan sendiri majlis ringkas pembukaan potret beliau sebagai mantan Yang Dipertua Dewan Negara.
TYT Sarawak itu berkata kehadiran beliau di sana mengimbau kenangan kerana pernah diberi tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-19 pada tahun lepas.
Sempena kehadiran beliau, Pejabat Parlimen turut menganjurkan majlis berbuka puasa. – TVS