KUCHING, 22 Mac: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Sibu merekodkan rampasan dadah Methamphetamine seberat 41.95 kilogram untuk tempoh Januari hingga 19 Mac 2024.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata kesemua dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Sibu itu bernilai kira-kira RM1.4 juta.
Terbaharu, pada 13 dan 14 Mac yang lalu, JKDM Sibu merampas Methamphetamine seberat 26.52 kilogram, dianggarkan bernilai RM875,160.
“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan dadah dan barangan yang lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau memohon kerjasama dari seluruh ahli masyarakat untuk bersama-sama berganding bahu untuk membanteras aktiviti pengedaran dadah untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.