KUCHING, 21 Mac: Susulan kenaikan cukai perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus berkuat kuasa bermula 1 Mac lepas, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah mengesan keluhan dan keresahan masyarakat tentang kenaikan harga barang asas.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol yang berkata demikian, menambah beliau telah mengarahkan semua pegawai-pegawai UKAS di setiap daerah dan bahagian memantau dan melapor isu tersebut.
Ini adalah untuk memastikan isu melibatkan kebajikan dan kos sara hidup masyarakat tidak diambil sambil lewa.
“Tujuan pemantauan ini adalah untuk memastikan kebajikan masyarakat terutama warga B40 tidak terlalu dihimpit oleh kos sara hidup yang membebankan ketika negara sedang dilanda beban hutang yang tinggi dan nilai ringgit yang masih rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui semasa Majlis Berbuka Puasa bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) di sini, malam tadi. Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee dan Pengarah UKAS Samuel Simon.
Abdullah berkata lagi, menerusi maklum balas diterima, sedikit-sebanyak ia membantu kerajaan merangka atau membuat polisi tentang pelbagai perancangan atau cadangan bantuan khas untuk masyarakat yang kurang bernasib baik.
Dalam pada itu, masyarakat juga dinasihatkan agar mengamalkan kesederhanaan dalam perbelanjaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Apa yang penting ialah menziarahi saudara mara agar silaturahim dapat dieratkan,” katanya.