KUCHING, 21 Mac: Baru-baru ini agak hangat dibahaskan tentang ‘mengapa bak kut teh’ diisytiharkan sebagai makanan warisan negara bersama makanan lain seperti burasak, mi kolok, nasi ambeng, dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira.
Ia mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat sehingga ada segelintir pihak yang mempolitikkan isu tersebut.

Sadiqin Lim, seorang peniaga bak kut teh dan mi kampua di bandar raya ini mempunyai pandangan sendiri dalam hal ini.
Pemuda kacukan Cina-Melayu itu menjelaskan perbahasan yang tercetus baru-baru ini timbul apabila masih ramai yang tidak faham maksud ‘bak kut teh’.
Nama bak kut teh berasal dari dialek Hokkien, yang membawa maksud sup tulang daging (terutamanya daging rusuk) yang dimasak menggunakan herba tradisi Cina.
“Sejak saya memulakan perniagaan ini, saya sudah bersedia untuk menerima segala maklum balas daripada pelanggan dan saya akan menjawab persoalan tersebut dengan profesional, tiada guna bertikam lidah mengenai hal remeh sebegini.
“Saya akan menjelaskan segala proses yang dijalankan serta bahan yang digunakan kepada pelanggan, agar mereka tidak merasa was-was lagi,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Jalan Batu Lintang di sini, baru-baru ini.

Beliau pernah dihubungi seorang yang tidak dikenalinya agar menukar nama bak kut teh dan mi kampua.
“Saya kekalkan penggunaan nama bak kut teh dan mi kampua dengan tujuan mendidik, agar orang faham maksud sebenarnya,” katanya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pada 13 Mac lalu berkata, pengiktirafan hidangan itu tidak wajar dipertikaikan kerana ia tidak berkaitan dengan isu bangsa atau agama.
“Pengiktirafan bak kut teh sebagai Makanan Warisan Negara adalah mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), ia tiada kena mengena dgn isu bangsa atau agama.
“Saya memohon semua pihak untuk hormati budaya dan agama yang pelbagai di negara ini demi menjaga perpaduan dan harmoni masyarakat kita berbilang kaum,” katanya. – TVS