KUALA LUMPUR, 21 Mac: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie bersedia untuk memberi tunjuk ajar kepada wanita Dayak yang berhasrat untuk berkecimpung dalam arena politik.
Katanya, beliau sentiasa terbuka memberi nasihat, pandangan serta berkongsi pengalaman kepada mereka yang berminat dan memerlukan rujukan.
“Saya sejak dulu memang mengharapkan lebih ramai wanita komuniti Dayak melibatkan diri dalam bidang politik.
“Kalau mereka mencari saya untuk mendapatkan bantuan dan sokongan, saya akan berkongsi mengikut kemampuan malah menerima dengan tangan terbuka,” katanya kepada TVS baru – baru ini.
Dalam pada itu, Doris Sophia percaya wanita Dayak dapat menggalas tanggungjawab yang diberi dengan baik sekiranya diberi peluang menonjolkan potensi mereka dalam pembangunan komuniti.
“Sebenarnya kita tidak kekurangan wanita Dayak yang berpendidikan tinggi, mempunyai pengetahuan dan pendedahan dalam bidang politik di Sarawak.
“Persoalannya sekarang ialah berbalik kepada peluang yang perlu diberikan,” tambahnya.
Justeru, beliau menyeru wanita Dayak terutamanya golongan belia supaya mempunyai keyakinan diri sekiranya berhasrat untuk terjun ke dunia politik.
“Semua ini terletak kepada keazaman anda untuk membawa pandangan dan pendapat untuk kebaikan masyarakat.
“Jangan mudah berputus asa mencari peluang itu,” tambahnya.