JAKARTA, 21 Mac: Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden dan Naib Presiden (Pilpres) 2024.
Kepiutusan rasmi itu diumumkan oleh Ketua KPU Hasyim Asyari dalam mesyuarat selepas selesai pengiraan undi di seluruh wilayah Indonesia dan luar negara semalam di ibu pejabatnya.
“Dengan ini menetapkan keputusan PEMILU 2024 presiden dan naib presiden, berdasarkan hasil pengiraan undi, Prabowo-Gibran memperoleh 96,214,691 undi sah,” katanya.
Beliau mendedahkan, secara keseluruhannya, jumlah undi yang dikumpul pada pilihan raya kali ini mencecah 164,227,475 undi sah.
Berdasarkan pengiraan keputusan undi di peringkat nasional, gandingan Prabowo-Gibran mendahului di 36 daripada 38 wilayah di Indonesia dengan jumlah undian 58.6 peratus.
Pesaingnya Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar berjaya mendahului di dua wilayah lain dengan memperoleh 24.9 peratus undi atau 40,971,906 undi.
Sementara itu, pasangan Ganjar Pranowo-Mahfud MD hanya mengumpul 16.5 peratus undi sah atau 27,040,878 undi.
Dengan itu, menerusi keputusan akhir ini, gandingan Prabowo-Gibran secara rasmi memperoleh undi majoriti untuk keluar sebagai pemenang serta dipilih sebagai presiden dan naib presiden Indonesia. -TVS