SIBU, 21 Mac: Seorang warga emas yang juga pemandu Grab kerugian RM11,600 selepas terpedaya dengan panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai rakan lama yang terdesak meminjam wang.
Mangsa tidak menyedari ditipu berikutan suara pemanggil itu menurutnya seperti kenalan lamanya.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa yang juga seorang pemandu grab pada Selasa.
Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai rakan dan memberikan alasan nombor lamanya telah hilang.
“Mangsa telah terpedaya kerana menyangkakan pemanggil adalah rakan lamanya yang memberi alasan bahawa telefon miliknya telah hilang dan memerlukan pertolongan dengan mangsa untuk meminjamkan wang bagi tujuan pembaikan rumah.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa telah bersetuju untuk memberikan bantuan dengan melakukan pindahan wang sebanyak tiga kali berjumlah RM11,600 ke dalam satu akaun bank tempatan sepertimana yang diberikan oleh suspek,” ujarnya.
Namun mangsa menyedari telah ditipu susulan selepas pemindahan wang dilakukan panggilan telefon mangsa disekat suspek.
Zulkipli berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada hari yang sama di balai berdekatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak mudah percaya dengan panggilan atau mesej pinjaman wang yang diterima daripada rakan atau kenalan terutama apabila akaun bank yang digunakan adalah milik invidu lain.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ditalian 997 dan ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP@JSJKPDRM. – TVS