Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan Sarawak mengemukakan tuntutan autonomi pendidikan yang meliputi aspek sumber manusia, operasi dan pembangunan, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini. Foto fail Bernama.

Parlimen: Sarawak tuntut autonomi sumber manusia, operasi dan pembangunan bidang pendidikan

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Kerajaan Sarawak mengemukakan tuntutan autonomi pendidikan yang meliputi aspek sumber manusia, operasi dan pembangunan, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perkara itu disuarakan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Negeri Sarawak (JTBPP Sarawak) pada 22 Februari 2024 di Kuching yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Kata beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperhalusi kesemua tuntutan tersebut bagi memastikan ia selari dengan dasar yang sedang berkuat kuasa.

“(Setakat ini) autonomi pendidikan yang telah diberikan kepada Sarawak ialah pemberian kuasa Menteri Pendidikan di bawah Seksyen 28 dan 31 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak bagi meluluskan permohonan pembinaan bangunan gantian atau tambahan, kerja ubah suai atau naik taraf di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di Sarawak yang menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak atau pihak selain Kerajaan Persekutuan mulai Mac 2024, tertakluk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (Gabungan Parti Sarawak – Igan) yang minta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh mana status perbincangan mengenai autonomi pendidikan antara KPM dengan Kerajaan Sarawak.

Ahmad Johnie juga ingin tahu mengenai isu autonomi yang telah dibincang dan bilakah akan dilaksanakan.

Kepada soalan tambahan mengenai projek naik taraf sekolah daif di Sarawak, Kah Woh memaklumkan, sejak 2016 hingga tahun ini, sebanyak 240 projek telah siap.

“Sebanyak 51 projek berada pada peringkat pembinaan, pra bina (95) dan sebanyak enam projek batal,” katanya.

Berkenaan masalah kekurangan guru di Sarawak pula, beliau memaklumkan pada Disember lepas, bilangan penghantaran guru baharu ke Sarawak adalah paling ramai berbanding dengan wilayah dan negeri lain.

“Ini membuktikan usaha KPM untuk pastikan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen dan Kerajaan Sarawak dapat diselesaikan dengan baik,” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan