KUALA LUMPUR, 21 Mac: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan penyelenggaraan berasaskan keadaan bagi memastikan tiada gangguan bekalan elektrik sepanjang musim perayaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyalurkan bekalan elektrik kepada premis di Semenanjung Malaysia.
“Kementerian juga akan membuat audit dan membaiki kipas alat ubah serta merancang dan menyiapkan projek menaik taraf sistem voltan rendah,” katanya.
Beliau menjawab soalan M.P Prabakaran (Pakatan Harapan – Batu) yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan langkah-langkah mitigasi yang telah diambil kementerian bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil dan mencukupi menjelang musim perayaan yang akan datang di samping keadaan cuaca yang panas di seluruh negara.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kementerian akan sentiasa memastikan beban pada peralatan TNB berada dalam keadaan optima.
“Sebagai contoh beban pada transformer di bawah kadar 85 peratus dan beban pada kabel mesti berada pada bawah 50 peratus.
“Ini supaya pepasangan TNB yang bersambung kepada premis rakyat Malaysia boleh membawa lebih beban sekiranya perlu pada musim panas dan perayaan,” katanya.
Sementara itu Fadillah memaklumkan, antara punca-punca gangguan yang kerap berlaku adalah disebabkan oleh kerosakan konduktor, kotak fius dan penyambung menindik penebat serta gangguan tumbuh-tumbuhan.
“Dalam hal ini, prestasi pembekalan elektrik oleh TNB ini dipantau dengan menggunakan System Average Interruption Duration Index (SAIDI) yang mengukur tempoh gangguan bekalan elektrik kepada pengguna dalam tempoh setahun,” katanya.
Jelas beliau, bermula pada tahun lepas, sasaran SAIDI keseluruhan bagi Semenanjung Malaysia telah ditetapkan tidak melebihi 48 minit setahun.
“Pencapaian SAIDI di Semenanjung Malaysia pada 2023 adalah 46.10 minit setahun,” katanya. -TVS