KUALA LUMPUR, 21 Mac: Semua pihak diminta berhenti menggunakan istilah dinafikan mendapat status kewarganeraan bagi kanak-kanak atau bayi yang ditemui.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana proses penyelesaian isu kewarganegaraan masih di peringkat libat urus bagi mendapatkan formula terbaik.
“Sekarang kalau dia (bayi atau kanak – kanak berkenaan) tidak dapat melalui kaedah cara 19(B), kita proses di bawah 15(A).
“Dia tetap warganegara, tiada istilah dinafikan, asalkan ada permohonan yang lengkap,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan Kepli (Gabungan Parti Sarawak – Batang Lupar) berhubung mekanisme bagi membolehkan bayi atau kanak-kanak terbiar diberikan kerakyatan automatik.
Sementara itu, Saifuddin berkata, sekiranya draft rang undang – undang berkenaan dibentangkan kelak, setiap Ahli Parlimen diminta untuk mengambil bahagian dalam perbahasan supaya semua pihak mengambil tanggungjawab berkenaan hak setiap kanak-kanak itu dijamin dan dijaga.
“Dalam isu ini, terdapat dua andaian iaitu pertama, tempat lahirnya (atau) di mana dijumpai. Kedua, mesti dibuat andaian (bahawa) dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia.
“Bila kita buat andaian begitu, maka dia boleh mendapat warganegara secara kuat kuasa undang-undang,”katanya. -TVS