KUALA LUMPUR, 21 Mac: Sebanyak 35 lot tanah rizab milik kerajaan telah diduduki secara haram dan tindakan penguatkuasaan sedang dilaksanakan, kata Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata, daripada kesemua tanah yang diceroboh itu, tiga lot dibina rumah.
“Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTGP) telah bekerjasama dengan kementerian dan Jabatan Pengguna (KJP), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjalankan siasatan dan mengemukakan notis penguatkuasaan ke atas pencerobohan yang berlaku,” katanya semasa sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tiong Sii menjawab soalan Zahari Kechik (Perikatan Nasional – Jeli) yang ingin tahu jumlah tanah rizab kerajaan yang telah diduduki secara haram oleh rakyat Malaysia.
Beliau ingin tahu apakah tindakan yang diambil dan sama ada terdapat pampasan akan diberikan oleh kerajaan bagi rakyat yang sekian lama menduduki berkenaan sekiranya pengambilan semula dilakukan oleh kerajaan.
Berhubung perkara ini, Tiong Sii menjelaskan penduduk yang tinggal di atas tanah rizab kerajaan secara tidak sah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara Akta 828 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Berdasarkan ketetapan ini, tiada sebarang pampasan akan diberi kepada pihak yang menceroboh tanah rizab tersebut.
“Tanah rizab persekutuan di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan dikhususkan untuk tujuan pembangunan,” jelasnya.
Tambahnya, sekiranya tiada sebarang perancangan pembangunan di atas rizab tersebut dan pihak berkuasa negeri mendapati keperluan untuk melaksanakan, maka pemilikan pemohonan pelepasan boleh dikemukakan kepada kementerian untuk pertimbangan. -TVS