KUCHING, 21 Mac: Management and Science University (MSU) hari ini menyemarakkan kesedaran masyarakat terhadap nilai-nilai murni semasa Ramadan melalui MSU Amal Ramadan 2024.
Presiden MSU, Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid berkata, MSU Amal Ramadan 2024 menggabungkan lima aktiviti iaitu MSU Charity Campaign 2024, MSU Tidbits Lambuq Ramadan 2024, MSU Amal Fashion Show, MSU with Iftar Bliss 2024, dan MSU Zakat Distribution.
Menurutnya, program ini berfungsi membina kesedaran budaya antara pelajar yang dapat membina masyarakat bertoleransi dalam kerangka negara bangsa.
“Kepelbagaian adalah kekuatan kita. Kita mempunyai pelajar-pelajar dari pelbagai negara yang membawa pelbagai budaya yang boleh dikongsikan sesama kita.
“Kefahaman antara budaya amatlah penting, oleh itu jadikanlah bulan Ramadan yang lebih baik dengan membina hubungan antara kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MSU Amal Ramadan 2024 merupakan program yang dilaksanakan secara tradisi dan tahunan di MSU sebagai platform untuk menyemarakkan kesedaran tentang budaya memberi dan bersyukur.
Pada majlis tersebut, turut diadakan sesi pemberian sumbangan kepada wakil-wakil daripada 25 kampung dan penyerahan zakat kepada pelajar-pelajar MSU College Sarawak dari golongan B40. – TVS