SARIKEI, 21 Mac: Program Kembara Ramadan memperuntukkan sumbangan berjumlah RM205,000 untuk menyantuni masyarakat di Rajang.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata sumbangan berkenaan dikhususkan kepada golongan asnaf, warga emas, ibu tunggal, jawatankuasa pebgurusan surau dan masjid bermula di Masjid Darul Ibadah Kampung Rajang pada minggu lalu dan melabuhkan tirainya di Masjid Al-Ansar Kampung Selalang, semalam.
“Sumbangan termasuk dari Lembaga Amanah Kebajikan Kuala Rajang (LAKIKR), khusus untuk kawasan di Zon Tanjung Manis dan syukur semuanya berjalan dengan baik.Terima kasih kepada seluruh jawatankuasa yang terlibat menjayakan program jelajah ini.
“Begitu juga dengan kunjungan ke bazar Ramadan Sarikei baru-baru ini, saya difahamkan sambutan pelanggan untuk tapak itu juga amat memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Beliau berharap sumbangan itu akan membantu masyarakat mengimarahkan lagi surau dan masjid pada bulan yang mulia ini.
Menyentuh pembangunan surau dan masjid di kawasan DUN itu, Len Talif berkata, keseluruhan rumah ibadat berkenaan sudah dinaiktarafkan sekali gus menyediakan kemudahan yang lebih selesa untuk kariah setempat. – TVS