ACEH, 21 Mac: Seramai 69 pelarian Rohingya diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wilayah Aceh, Indonesia apabila kapal mereka terbalik di perairan Meulaboh, Aceh hari ini.
Ketua Pejabat SAR Aceh, AL Hussain berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada nelayan yang memaklumkan tentang sebuah kapal terbalik yang membawa pelarian Rohingya.
“Selepas menerima maklumat, kami mengerahkan pasukan dan mereka ditemui terapung di perairan kira-kira 21 batu nautika dari Jeti Pelabuhan Ujong Karang, Meulaboh dalam keadaan kapal itu terbalik,” katanya.
Mangsa terdiri daripada 42 lelaki, 18 wanita dan sembilan kanak-kanak.
Kesemua mangsa dibawa ke Pelabuhan Jeti Ujung Karang untuk pengumpulan data yang kemudiannya ditempatkan di pejabat PMI Suak Raya bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Berdasarkan maklumat diperoleh daripada mangsa, mereka dalam perjalanan ke Australia tetapi kapal mereka terbalik kerana dibadai ombak. – TVS