SIBU, 20 Mac: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mengagihkan bubur lambuk di sekitar bandar Sibu sebagai hasrta berkongsi rezeki sempena Ramadan kali ini.
Naib Canselor UTS, Prof. Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata acara tahunan universiti tersebut itu turut bertujuan untuk menyumbang dan mendekati masyarakat.
“Ini adalah satu cara kita untuk mendekati masyarakat setempat sebagai sebuah universiti yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
“kita ingin menunjukkan bahawa selain kita menjalankan tugas sebagai pendidik ataupun kakitangan di sebuah universiti, kami juga harus berdamping rapat dengan masyarakat dan cuba memberi sumbangan sedaya upaya yang kita ada, terutamanya dalam bulan yang mulia ni iaitu bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program agihan bubur lambuk di hadapan Surau Darul Islam, Jalan Badong Sibu pada petang Rabu.
Program tersebut merupakan anjuran Surau Pusat Islam UTS dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam UTS dan Persatuan Wanita UTS.
Menurut Khairuddin, pada tahun ini terdapat kelainan kerana sebahagian bubur lambuk telah dimasak sendiri oleh ahli-ahli Persatuan Wanita UTS.
“…dan lebih kurang 50 pek bubur lambuk telah dihantar oleh Persatuan Wanita UTS ke Hospital Sibu,” ujarnya.
Manakala tambahnya lebih 450 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui jalan Bandong dan 350 pek diagihkan kepada staf dan para pelajar UTS. – TVS