KUCHING, 20 Mac: Bagi meneruskan Projek Sistem Tagang, Sarawak Energy baru-baru ini melepaskan 3,000 anak ikan Tengadak ke dalam Sungai Pulang dan Sungai Entalawan, anak sungai Batang Baleh.
Sarawak Energy berkata Program Pengayaan Sungai Komuniti (CREP) yang dilaksanakan sejak 2023 dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak merupakan inisiatif bagi pemuliharaan dan pengayaan biodiversiti.
“Program ini akan memberi manfaat kepada penduduk dari Rumah Kalat Likong, Rumah Jack Sibat dan Rumah Samon Chepau yang terdiri daripada hampir 100 isi rumah iaitu kira- kira 1,000 penduduk,” kata Sarawak Energy menerusi kenyataan, hari ini.
Acara pelepasan anak ikan itu disempurnakan di Rumah Kalat Likong, Rumah Jack Sibat dan Rumah Samon Chepau pada 8 Mac lepas.
Menerusi kenyataan itu, Pengurus Kanan Perkhidmatan Projek Sarawak Energy, Sharina Bohari berkata selain memberi manfaat kepada komuniti setempat, ia menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.
“Keupayaan dan rasa pemilikan masyarakat untuk berdikari mengendali dan mengurus Sistem Tagang dapat dijadikan sebagai ‘role model’ untuk menggalakkan komuniti di kawasan Baleh melaksanakan usaha pembudayaan biodiversiti yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Projek Hidroelektrik Baleh (HEP), Tan Hang Kiak berkata Sarawak Energy komited dalam berganding bahu dengan pelbagai agensi dan masyarakat dalam meningkatkan pembangunan sosioekonomi.
Pendidikan belia, pemeliharaan budaya dan warisan, pembangunan komuniti dan keusahawanan serta pemuliharaan alam sekitar merupakan sokongan sosial korporat yang dihulurkan Sarawak Energy kepada komuniti sebagai tonggak pelaburan.
“Pasukan HEP Baleh akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Pertanian dan komuniti Baleh dalam program penghidupan lestari sehingga memberi impak sosial positif dan berkesan terhadap alam sekitar untuk masyarakat,” katanya.