KOTA SAMARAHAN, 20 Mac: Seramai 1,338 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mendapat manfaat daripada pelaksanaan Program Kasih Insani keenam yang mula dianjurkan Pustaka Negeri Sarawak sejak 2019.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, jumlah agihan pada tahun ini merupakan yang terbesar iaitu sebanyak RM761,511 serta edaran 2,000 kotak Makanan Sedia Dimakan (MRE).
Katanya, pelajar yang tersenarai tersebut merupakan pelajar prasiswazah daripada 10 fakulti dan pra universiti.
“Bantuan yang diberikan pula dalam pelbagai bentuk termasuk wang sara diri, komputer riba, juadah berbuka puasa dan makanan MRE,” katanya ketika berucap pada Program Kasih Insani di UNIMAS di sini, hari ini.
Tambahnya, UNIMAS turut mempunyai Butik Kasih di Bahagian Endowment dan Wakaf bagi pelajar yang tidak berkemampuan mendapatkan baju kurung atau baju melayu secara percuma.-TVS