KUCHING, 20 Mac: Sarawak direkodkan sebagai negeri yang memiliki mangsa paling ramai terpedaya dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak di Kementerian Luar Negeri, Fenny Nuli berkata pihaknya bakal bekerjasama dengan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bagi mengenal pasti langkah untuk mengatasi permasalahan berkenaan.
“Perkara ini sangat membimbangkan kerana Sarawak berada di kedudukan tertinggi dalam carta rakyat Malaysia yang terpedaya dengan sindiket tersebut.
“Sebenarnya, pertemuan saya dengan beberapa menteri termasuk Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah juga membincangkan perkara ini.
“Saya juga akan bekerjasama dengan Datuk Amar Dr Sim untuk menangani isu sindiket penipuan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, hari ini.
Menurutnya, Tun Dr Wan Junaidi juga berpendapat sudah menjadi sifat rakyat Sarawak menanam hasrat untuk bekerja di luar negara, malah faktor itu menjadi pendorong untuk menerima tawaran palsu.
Fenny berkata gaji yang ditawarkan juga antara sebab masyarakat mudah terpedaya untuk menjadi mangsa sindiket itu.
“Bekerja di luar negeri tidak semanis ramai orang sangkakan. Hakikatnya, gaji yang diiklankan juga tidak mampu untuk menampung kos penerbangan pulang ke tanah air,” katanya.
Beliau menambah jumlah sebenar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara masih belum diketahui.
Dalam pada itu, Fenny menganggarkan seramai 1,000 mangsa masih terkandas di Myanmar. -TVS