KUCHING, 20 Mac: Kakitangan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) diingatkan agar mengekalkan prestasi cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan mereka kepada orang ramai.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata tenaga kerja JAIS memikul tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas sebaik mungkin.
“Anda semua telah menunjukkan bahawa kita kakitangan terbaik, jadi teruskan usaha untuk jadikan agensi kita sebagai agensi majlis yang terbaik di Sarawak dan juga di Malaysia,” katanya semasa Majlis Apresiasi Jabatan Agama Islam Sarawak di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, 30 orang pegawai JAIS menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) untuk tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, lima orang warga kerja JAIS menerima Sijil Anugerah Khas Pengarah.
Dr Abdul Rahman berkata, anugerah tersebut merupakan penghargaan kepada penjawat awam yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti, tadbir urus terbaik serta inisiatif dalam organisasi mereka.
Beliau menyeru semua kakitangan jabatan meningkatkan usaha serta produktiviti mereka dalam perkhidmatan untuk kekalkan menjadi agensi yang terbaik di Sarawak.