KUALA LUMPUR, 20 Mac: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang melaksanakan Operasi Satria selama 24 jam di Beting Patinggi Ali, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, operasi tujuh hari seminggu itu melibatkan aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menjamin kedaulatan negara.
“Kita juga akan memastikan kelengkapan aset pertahanan negara sentiasa dipertingkatkan.
“(Ini termasuklah melibatkan) projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) TLDM yang menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus menyiapkan kapal ini yang cukup penting dalam aspek pertahanan dan kedaulatan negara kita kelak,” katanya di sini hari ini.
Tambah Adly, pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) generasi kedua oleh MINDEF pula akan turut diletakkan di Sarawak bagi menjamin kedaulatan perairan wilayah berkenaan.
“Selain itu, pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Samalaju, Bintulu, Sarawak juga merupakan salah satu usaha kerajaan bagi memastikan maritim negara mempunyai persediaan aset termasuk keanggotaan,” katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Perikatan Nasional – Arau) mahu kerajaan bertindak tegas dengan mengusir kapal pengawal milik negara asing yang berlabuh di kawasan berkenaan.
“Dahulu kita (Malaysia) pernah usir, dan dia (kapal pengawal China) keluar sebulan, kemudian datang semula.
“Kapal pengawal China larang kita operasi telaga minyak di sana dan anggap milik negaranya (malah) tidak benarkan nelayan kita di Sarawak (menangkap ikan di situ), jadi kena tegas, usir mereka keluar,” katanya.
Kata Shahidan nota bantahan juga tidak diperlukan kerana terbukti kapal berkenaan menceroboh kawasan Malaysia. -TVS